Tuesday, March 27, 2018

PENGALAMAN DAN PENULISAN

PENGALAMAN: ANTARA YANG MENCORAK PENULIS
Tahun-tahun 80-an saya suka baca mengenai batu-batu dan batu permata. Seronok rasanya mengetahui segala jenis batu yang ada. Angan-angan tu nak tengok gunung Lapis Lazuli di Afghanistan, gunung biru, nak tengok sapphire sebesar buah kelapa di Burma. Kalau boleh nak tengok macam mana di Kemboja depa angkat nilam dari sungai di Chanthaburi. Oooo.... Chanthaburi ni di Thailand yang bersempadan dengan Kemboja tapi yang seronok mencari batunya di Kemboja.
Saya banyak lah tau kekuatan batu batu dan jenis batu batu. Baca apa saja buku yang ada, malah saya beli banyak juga buku mengenai batu. Tambahan buku-buku untuk mengklasifikasikan batu. Tah hilang mana semua buku buku saya... satu pun tak ada dalam simpanan.
Tahun 1990an, adik saya berkahwin dengan seorang yang gila batu. Tah nasib kot kerana saya pun suka batu. Tak lah gila batu. Cuma suka saja. Langsunglah kegilaan dia cari batu dilanjutkan kepada minat saya. Maka kami selongkarlah Puncak Janing, Bukit Wang, Hutan Sintok, Bukit Hijau dan banyak lagi tempat di Penang dan Perak untuk cari batu-batu yang lain sikit dari batu batu lain. Biasanya calcite. Calcite ni batu kristal yang color cerah tu... biasanya dalam terdapat dalam batu batu bukit. Orang tak tahu jenis batu ni berada dalam batu bukit yang berlumut. Kena ketuk bagi pecah batu batu baru tahu ada calcite atau tidak di dalam. Kalau tengok batu, buruk teramat! Tak payahlah nak ketuk semua batu yang ada, biasanya batu granit tu boleh kenal atau batu bukit biasa. Batu ni cantik dibuat hiasan. Letak atas para kaca dan pasang lampu pada sudut yang baik, ia nampak cantik sangat.

Adik ipar saya ni percaya juga pada pantang larang cari batu. Kalau dah senja dia ajak balik. Kelam kabut nak balik tinggalkan hutan atau bukit. Saya tak kisah sangat pun, janji boleh main air. Senja ke malam ke, biasa saja. Kami tak pernah lah cedera bila mencari batu. Biar sebesar mana kami dapat. Ada calcite sampai besar separuh lori 3 tan kami cari. Kami bawa balik dengan lori atau pick up yang kami bawa.
Batu batu yang dicari bukan untuk dijual. Semuanya untuk simpanan. Macam library batu jadinya rumah adik ipar saya. Ada dua bilik yang dihiasi penuh dengan batu. Sebenarnya batu yang kami kumpul ni lebih banyak dari batu yang ada di muzium-muzium yang saya lawati. Rumah adik ipar saya tu lebih cantiok dari muzium batu yang ada...

Minat batu ini dipanjangkan ke Aceh dan Kemboja. Dia ajak saya pergi ke sana. Bukan kerana saya pandai batu, dia lebih pandai dari saya. Cuma saya ni alim sikit. Mana saya pi tak pernah berlaku apa apa musibah. Dalam hidup saya ni pun begitu lah juganya. Tak ada benda buruk berlaku pun. Life is so ordinary! Masa ke Aceh, kami naik rasanya Malindo Air kot. Masa dok dalam kapalterbang, stewardess datang tiba tiba saja pada saya. Cakap dia nak jumpa saya. Saya pun pelik jugalah rasanya. Bukannya handsome sangat pun! Ini stewardess lawa ni nak jumpa. Dia bawa saya ikut dia ikut lorong ke cockpit. Hmm.. takkan dia nak goda saya. Seronok jugalah. Kemudian kami masuk ke cockpit. Rupa rupa kapten kapal nak jumpa saya. Adik sepupu saya. Tulah ... tamat kisah cinta paling pendek dengan stewardess dalam hidup saya. Bawa lalui lorong sepi aje.... Saya duduk di cockpit tengok adik sepupu saya pandu kapalterbang.
Masa ke Aceh, Tok Guru saya, Tok Haji Napiah dari Kodiang Lama ikut. Orang warak dan sangat tinggi ilmu ni, insist nak jalan dengan saya. Dia tak mau pi Aceh kalau saya tak pi sama. Jadi saya pun pi lah. Tok Guru dan adik ipar saya kerja pi tengok batu yang ada, terutamanya cari batu obsidian dan batu apa tah nama yang ada nyamuk di dalam (amber). Batu batu ni terdapat di kawasan gunung berapi. Depa pi tengok, saya tak mau. Apa yang seronok sangat nak pi memanjat gunung berapi nak tengok batu hitam dan batu ada nyamuk?
Saya berjalan di Bandar Aceh tengok kaset lagu lagu Vina Panduvinata dan penyanyi Indonesia waktu tu seperti Iga Mawarni. Saya beli banyak sangat kaset jazz Indonesia.
Orang perempuan Aceh jadi perhatian saya kerana mata mereka pelik sikit. Ada yang color gray. Muka pun lawa lawa. Saya masih bujang dan malu malu sikit masa tu jadi tak adalah nak mengorat walaupun ada keinginan juga.
Bila balik ke Malaysia, saya menulis mengenai cerita pengembaraan mencari batu dan kisah hilang di hutan. Saya pun tak ingat tajuk cerita dan bila ia ditayangkan. Macam cerita Indiana Jones.
Saya, adik ipar dan Tok Guru saya kemudian ke Chanthaburi di selatan Thailand bersempadan dengan Kemboja. Tengok batu batu permata. Tengok macam mana batu batu dicari. Jauh sebenarnya. Kami pandu kereta Merc adik saya tu ke Bangkok. Lebih 1000 kilometer dari Haadyai. Kemudian ke selatan sebelah timur ke Kemboja. Lebih 450 kilometer tambah untuk sampai ke sempadan. Tempat yang kami pi, pekan kecil saja. Kecil teramat. Market semak macam tengok cerita Rambo saja. Tapi yang mahalnya, orang jual batu permata semuanya. Batu batu belum potong. Tak adalah menarik pun batu batu tu, cuma batu biasa saja, warna biru dan merah. Kalau tak tahu batu batu tu batu sapphire dan ruby, boleh buang saja. Bukan lawa pun kalau tak dipotong dan diasah.
Adik ipar saya pergi mengusik perempuan yang jaga hotel kata saya nak kahwin orang Kemboja. Maka sepanjang saya ada di hotel tersebut, keraplah perempuan Kemboja tu sembang dengan saya. Oooo... lawa! Masa tu jiwa saya berat nak ibadat sangat jadi terlepaslah peluang nak kahwin perempuan Kemboja. Lawa pula tu!
Pengembaraan tengok batu saya jauh lagi lepas tu. Ke Mekah, ke Israel dan mana mana tempat yang adik ipar saya rasa ada batu batu yang significant dalam hidupnya (dia ni berada sikit!). Saya ni ikut bukan kerana saya pandai pasal batu tapi satu ni lurus bendul sikit, nampak benda dalam bentuk lain dari orang lain. Tok guru saya ikut kerana ilmu pelik pelik dia. Hmmm.. dahsyat.. tak payah cerita lah!
Tok Guru dan adik ipar saya dah meninggal. Dalam kumpulan jalan jalan cari batu tu tinggal saya seorang saja. Ironik nya... saya ni satu batu pun tak ada.... tak simpan satu pun, Tak adalah nak percaya batu tu bertuah atau ini berguna.
Ooo.... orang melayu percaya bahawa ada 4 benda bertuah dalam hidup ni. Pertamanya batu. Keduanya burung merbuk yang sisik kakinya ada 44. Ketiga lembu yang bila dimandi merah keluar peluhnya. Lidah lembu pula warna hitam atau lelangitnya hitam. Akhirnya, perempuan! Dapat yang bertuah maka beruntunglah manusia tu. Dapat yang buruk maka buruklah nasib dia.
Hmmmm... pengalaman membentuk corak penulisan.....

No comments:

Post a Comment